top_banner

 
 
Sijil Virtual vs Sijil Fizikal

Tahukah anda bahawa pihak Kementerian Kewangan telah memperkenalkan sijil virtual bagi menggantikan sijil fizikal. Apakah itu sijil virtual?

Sijil Virtual adalah akuan pendaftaran dengan Kementerian Kewangan yang dibangunkan secara atas talian (online) melalui sistem ePerolehan. Sijil ini menggantikan Sijil Fizikal dan penguatkuasaan sepenuhnya pelaksanaan sijil virtual mulai 12 Julai 2010.


Bolehkah Sijil Virtual dicetak?

Boleh. Syarikat/Firma Perunding boleh mencetak melalui laman web ePerolehan dengan menggunakan ID Log Masuk dan Kata Laluan milik Syarikat/Firma.


Apakah faedah Sijil Virtual?

i. Syarikat/Firma Perunding akan menerima sijil dengan lebih cepat kerana Sijil Virtual boleh dicetak sendiri tanpa menunggu proses penghantaran secara manual.

ii. Syarikat/Firma Perunding tidak perlu lagi membuat salinan dan membawa Sijil Fizikal ke Agensi Kerajaan apabila ingin menyertai perolehan Kerajaan selaras dengan Surat Arahan Perbendaharaan (SAP) bertarikh 30 Disember 2009 dan 29 Jun 2010.

iii. Syarikat/Firma Perunding tidak perlu lagi memohon sijil ganti jika berlaku kehilangan sijil.

iv. Penjimatan perbelanjaan kepada Syarikat/Firma Perunding dari segi kos operasi dan pengurusan.

v. Meningkatkan integriti, ketelusan dan menambah baik sistem penyampaian Kerajaan.

vi. Memudahkan Agensi dan Syarikat Kerajaan untuk melaksanakan perolehan kerana maklumat Syarikat/Firma Perunding boleh diperoleh dan disemak secara atas talian.


Adakah Syarikat/Firma Perunding yang mempunyai sijil fizikal sedia ada perlu menukar kepada Sijil Virtual?

Tidak. Sijil Virtual akan dikeluarkan secara automatik apabila Syarikat/Firma Perunding membuat permohonan baru, pembaharuan atau pengemaskinian profil yang melibatkan perubahan nama Syarikat/Firma mulai 12 Julai 2010. Jika berlaku kehilangan Sijil Fizikal, Syarikat/Firma boleh mencetak sendiri Sijil Virtual masing-masing.


Adakah capaian kepada maklumat Syarikat/Firma Perunding dihadkan bagi personel yang terlibat dengan perolehan sahaja?

Tidak. Personel yang diberi kuasa oleh Ketua Jabatan di Agensi dan Syarikat Kerajaan boleh menyemak maklumat Syarikat/Firma Perunding sama ada terlibat atau tidak dengan perolehan/pembelian.


Bagaimanakah Syarikat/Firma Perunding di kawasan pedalaman yang tiada kemudahan internet dan komputer/pencetak boleh mendapatkan Sijil Virtual?

Syarikat/Firma Perunding di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan internet dan komputer/pencetak boleh menggunakan kemudahan di eP Centre berhampiran untuk mencetak Sijil Virtual.


Adakah Syarikat/Firma Perunding boleh menyemak maklumat Syarikat/Firma Perunding lain?

Tidak. Maklumat Syarikat/Firma Perunding hanya untuk kegunaan Agensi dan Syarikat Kerajaan dan tidak boleh diberikan kepada pihak ketiga.

 


Hakcipta terpelihara 2008 - 2013 | Lesenkewangan.com